AnwarNasional

MoU dimeterai Malaysia-UAE beri petanda baik

PETALING JAYA: Kemesraan yang ditunjukkan oleh pemerintah dan penggubal dasar Emiriah Arab Bersatu (UAE) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bersama memberi petanda baik.

Pengerusi Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, Malaysia dan UAE mempunyai banyak persamaan yang seterusnya mengukuhkan lagi hubungan kedua-duanya.

“Perdana Menteri mengakhiri lawatan rasmi kedua beliau ke UAE, yang merupakan lawatan asing pertama beliau sebagai pengerusi ASEAN dan pertama untuk 2025.

“Acara kemuncak lawatan ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA), yang merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama Malaysia dengan negara dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Sudah tentu ia melebihi nilai di atas kertas dengan perjanjian urus niaga seperti akses bebas cukai segera untuk 6,331 barisan tarif produk dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

MY-UAE CEPA ditandatangani Tengku Zafrul (kiri) mewakili Malaysia dan UAE diwakili Dr Thani (kanan). Hadir menyaksikan majlis itu adalah Anwar (dua dari kiri) dan Sheikh Mohammed (dua dari kanan). – Foto: Berita Harian

Dalam perkembangan sama, Mohd Faiz memuji MY-UAE CEPA yang berfungsi membuka jalan kepada sektor halal seperti perdagangan Islam, kewangan Islam, pembangunan modal insan dan ekonomi Islam digital yang merentasi sempadan e-dagang.

Menurutnya, MY-UAE CEPA juga akan menjana pertumbuhan ekonomi, meningkatkan aliran pelaburan serta mewujudkan pekerjaan dan akses kepada pasaran UAE.

“Perjanjian itu turut menyediakan Putrajaya untuk rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC (MGFTA), yang dijangka bermula pada awal 2025,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, MY-UAE CEPA ditandatangani Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mewakili Malaysia, manakala UAE diwakili Menteri Negara Bagi Perdagangan Luarnya, Dr Thani Ahmed Al-Zeyoudi, sempena Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran Abu Dhabi (ADNEC), di Abu Dhabi, UAE.

Turut hadir menyaksikan majlis itu adalah Anwar dan Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan.

MY-UAE CEPA merangkumi bidang-bidang seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, kemudahan pelaburan, perdagangan digital, perusahaan mikro dan kecil sederhana, kerjasama ekonomi dan lain-lain.

MoU antara Malaysia dan UAE dalam bidang AI di bawah inisiatif Malaysia Madani Artificial Intelligence (MMAI).-Foto: Agensi/Emirates News Agency-WAM

Pada tarikh sama, Malaysia dan UAE turut menandatangani MoU untuk bekerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di bawah inisiatif Malaysia Madani Artificial Intelligence (MMAI).

Kerjasama yang dimeterai di antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi bertujuan untuk meningkatkan keselamatan negara berasaskan teknologi digital terbaharu.

Ia juga bertujuan untuk memanfaatkan AI dan analitik data lanjutan bagi meningkatkan keselamatan komuniti, keselamatan negara, dan kecekapan operasi.

Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuklah pembangunan sistem keselamatan negara berasaskan AI; penubuhan pusat data pengkomputeran berprestasi tinggi dan pusat operasi keselamatan negara dan penambahbaikan kecekapan operasi.

Related Articles

Back to top button