Semasa

Bomba jalankan siasatan dalaman insiden kemalangan helikopter

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung nahas melibatkan helikopter miliknya di Subang semalam.

Bahagian Pengurusan Korporat JBPM berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian yang berlaku ketika helikopter masih belum memulakan penerbangan.

“JBPM akan mengambil tindakan susulan selaras dengan dapatan serta arahan dan prosedur semasa yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan tiga pegawai JBPM dan empat jurutera selenggara terlibat dalam nahas helikopter di Dispersal Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (kawasan apron UniKL MIAT) Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Nahas pada 11.45 pagi itu melibatkan helikopter model Agusta AW189 milik JBPM dengan nombor pendaftaran 9M-BOF yang ketika kejadian sedang menjalani ujian penerbangan.

Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan menjalani pengujian enjin dan sistem pesawat yang merupakan prosedur biasa yang dilaksanakan setelah pesawat menjalani penyelenggaraan berkala, pada 11.40 pagi.

“Setelah beberapa ketika pesawat berada dalam pengujian tersebut, berlaku kemalangan ke atas pesawat yang mana pada ketika itu ia masih belum membuat penerbangan.

“Keadaan cuaca semasa kejadian dilaporkan mendung, tanpa sebarang halangan di tempat kejadian,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pesawat terbabit dikendalikan oleh Komander Pesawat, Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman.

Beliau dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan seorang Air Quartermaster, Pegawai Kanan Bomba I Fua’ad Jamaluddin.

Selain itu, empat kru senggaraan daripada Syarikat Galaxy Aerospace Sdn Bhd turut berada di dalam pesawat iaitu ketua jurutera Muhammad Mohd Taib, jurutera avionik Ahmad Zhafri Mohd Nor dan dua pelatih, masing-masing Mohammad Zhafir Mohammad dan Ryan Xavier Julius.

“Kesemua anak kapal dan kru senggaraan yang terlibat mendapat rawatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Mangsa dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali seorang kru senggaraan yang mengadu sakit pinggang dan diarah membuat pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran.

“Setelah pemeriksaan rapi dibuat, beliau dibenarkan pulang dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya.

Related Articles

Back to top button