Perkhidmatan 5G sudah capai 82.4% kawasan penduduk Malaysia

BARCELONA: Sebanyak 82.4 peratus kawasan penduduk di Malaysia sudah mencapai akses rangkaian 5G dengan 56.18 peratus pengguna mula menggunakan teknologi itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Menurut beliau, perkembangan itu didorong oleh inisiatif strategik seperti Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) yang memperluaskan capaian internet ke seluruh negara.
Sehingga 31 Disember 2024, lebih 9.03 juta premis telah mendapat akses kepada internet berkelajuan tinggi dan sambungan gentian optik, melepasi sasaran awal sebanyak 9 juta premis menjelang 2025.
“Hasil daripada pencapaian ini, kelajuan jalur lebar mudah alih di negara ini telah mencapai median 105.36 Mbps.
“Manakala liputan internet di kawasan berpenduduk meningkat kepada 98.66 peratus pada suku keempat 2024, terus meningkat ke arah liputan penuh menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di majlis perasmian Pavilion Malaysia sempena Kongres Mobil Sedunia 2025 di Barcelona, Sepanyol, semalam.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh peranan Pusat Pengedaran Maklumat Kebangsaan (NADI) dalam memperkasakan masyarakat melalui inisiatif Khidmat Pintar.
Program itu katanya, memberi fokus kepada lima aspek utama, iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan, kesedaran dan usaha kerajaan.
Di peringkat ASEAN, beliau menjelaskan bahawa inisiatif 6 Way Multi-Operator Core Network membuka peluang kepada kerjasama dan perkongsian sumber antara penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) dan kerajaan.
“Kerjasama antara SKMM dan MNO turut menghasilkan Garis Panduan Perkongsian Infrastruktur dan Rangkaian bagi membolehkan pihak berkaitan merangka perjanjian dua hala dan pelbagai hala,” katanya.
Tambah Mohamad Fauzi, penekanan turut diberikan kepada bagaimana teknologi 5G menyumbang kepada kemajuan dalam sektor kesihatan melalui pembangunan bandar pintar, selain memperkukuh sistem pendidikan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pertanian berteknologi tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa teknologi satelit memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan terpencil mendapat akses internet yang lebih baik.