Uncategorized

DAP tidak pernah sekat peruntukan orang Melayu – PM Anwar

Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak pernah menyekat peruntukan melibatkan kepentingan orang Melayu sepanjang tempoh lapan bulan parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan mentadbir negara ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk marah kepada parti berkenaan.

“Jangan kata kerajaan ini bawah telunjuk DAP, ini Anwar saudara-saudara. DAP adalah sebahagian pasukan.

“Kita marah orang yang sakau (curi) duit rakyat. Saya akan pastikan tindakan tegas diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh 2, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu dilaporkan, DAP menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa parti itu menguasai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, meskipun DAP antara parti komponen membentuk Kerajaan Perpaduan, ia tidak bermakna kerajaan didominasi oleh parti itu.

“Ada pihak yang menyatakan bahawa pada hari ini, oleh kerana ada keterlibatan DAP dalam kerajaan, maka kerajaan ini didominasi oleh DAP. Biar fakta berbicara.

“Apa faktanya? Kerajaan pada hari ini didukung oleh 148 ahli Parlimen. Daripada 148 ahli Parlimen ini, 77 ahli Parlimen bumiputera yang beragama Islam.

“Enam belas bumiputera bukan Islam, 43 Cina, 12 India dan lain-lain (kaum). Maksudnya majoriti dalam Kerajaan Perpaduan ini masih didukung ahli Parlimen yang beragama Islam dan bumiputera,” katanya.

Related Articles

Back to top button