Selesai masalah Kelantan: cuba beri peluang PH-BN tadbir negeri
Rakyat negeri Kelantan diharap akan memberi mandat kepada gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kepimpinan Kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selepas 33 tahun berada dibawah pemerintahan Pas, Kelantan masih dibelenggu masalah air selain berdepan isu kurang pembangunan.
“Sudah 33 tahun, air pun keruh… Beri sekali peluang selepas 33 tahun… cuba untuk satu penggal lima tahun saja.
“Cuba beri dukungan kepada kami dan rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.
Zahid sebelumnya hadir pada Program Silaturahim Timbalan Perdana Menteri Bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, di Gua Musang pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi aktiviti persatuan berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berharap pengundi termasuk anak muda, dapat menterjemahkan sokongan mereka itu melalui kertas undi pada bulan depan.
“Kita tidak sempurna, tidak maksum. Insya-Allah, kita baiki bersama-sama, demi masyarakat Kelantan. Kita mahu Putrajaya terus membantu Kelantan,” katanya.
Beliau sementara itu turut berkata, Dibawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun Kelantan masih belum bersama kerajaan di peringkat Persekutuan namun menunjukkan komitmen menjaga kebajikan rakyat negeri itu apabila memberi peruntukan RM1.7 bilion bagi menyelesaikan masalah air.