ekonomi

Kerajaan tak kenakan cukai atas barang keperluan asas

PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan bahawa semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan tidak akan membebankan rakyat apabila barangan keperluan asas harian dikecualikan sepenuhnya daripada dikenakan cukai.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kos sara hidup rakyat tidak terkesan serta kadar inflasi kekal terkawal.

“Kerajaan telah memutuskan untuk tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, sayur-sayuran, ayam dan ikan. Ia adalah usaha menjaga kebajikan rakyat dan menjamin keterjaminan makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semakan semula cukai jualan hanya melibatkan barangan pilihan dan premium yang tidak termasuk dalam kategori keperluan asas.

Antara barangan yang dikenakan cukai jualan antara 5 hingga 10 peratus ialah cendawan truffle, basikal lumba, dan ketam raja (king crab).

“Ini pendekatan berimbang yang tidak membebankan rakyat kebanyakan. Sebaliknya, golongan berkemampuan menyumbang secara adil kepada pembangunan negara,” ujarnya.

Mohamad menambah, Kerajaan MADANI komited untuk terus menggubal dasar yang berteraskan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Related Articles

Back to top button