Teknologi

MPD bukan sistem jejak orang hanya satu inisiatif bantu pembangunan negara jalan lebih cekap

PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan bahawa Projek Mobile Phone Data (MPD) bukanlah alat pemantauan individu seperti yang didakwa segelintir pihak, sebaliknya bertujuan membantu merancang pembangunan negara dengan lebih cekap berasaskan data pergerakan rakyat yang telah dianonimkan.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), data yang digunakan dalam MPD tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon, mahupun nombor kad pengenalan.

“MPD bukan sistem menjejak orang. Ia hanya melihat trend pergerakan secara umum. Contohnya, sistem hanya tahu 5,000 telefon bergerak dari Seremban ke Nilai, tapi tak tahu siapa mereka,” jelas MCMC dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, Projek MPD menggunakan data lokasi yang dihasilkan apabila telefon bimbit berhubung dengan menara telekomunikasi.

Data itu kemudian diproses oleh syarikat telekomunikasi menggunakan skrip khas MCMC, sebelum dihantar kepada pihak berkuasa dalam bentuk statistik tanpa identiti.

Tambah MCMC, hanya pegawai terlatih dari MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dibenarkan mengakses data ini, dan ia langsung tidak dikongsi dengan mana-mana syarikat swasta atau pihak luar.

“Ia sama seperti bancian, kita tahu 80 orang datang ke satu kawasan, tetapi tidak tahu siapa mereka. Ini bukan tentang individu, tetapi tentang pola pergerakan,” jelas kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, MPD dilaksanakan mengikut garis panduan keselamatan data yang ketat, termasuk audit berkala, akses terhad, serta pematuhan kepada standard antarabangsa oleh ITU (Pertubuhan Telekomunikasi Dunia) dan GSMA.

“Data ini penting untuk merancang laluan pengangkutan awam, kawasan tumpuan pelancongan, serta pengurusan bencana. Sebagai contoh, jika ramai orang bergerak dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, kerajaan boleh tambah laluan bas ekspres atau naik taraf jalan utama,” katanya lagi.

MCMC turut menafikan laporan media luar negara yang mendakwa projek ini sebagai usaha mengintip rakyat, sambil menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Sebagai jaminan tambahan, data asal kekal di syarikat telekomunikasi dan tidak dikongsikan, manakala semua proses pemprosesan serta akses terhadap data dipantau dan diaudit secara berterusan.

Related Articles

Back to top button