ekonomi

Shell umum tambah pelaburan lebih RM9 bilion dalam tempoh dua , tiga tahun kelak

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga multinasional Shell mengumumkan komitmen untuk menambah pelaburan melebihi RM9 bilion di Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan semasa kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen Malaysia, hari ini.

Menurut Anwar, pelaburan baharu itu bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan, sekali gus memperlihatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi negara.

“Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, malah merupakan rakan pelaburan utama Malaysia sejak sekian lama.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan.

“Saudara Sawan menyatakan keyakinan terhadap arah tuju Malaysia, justeru memutuskan untuk meningkatkan pelaburan melebihi RM9 bilion,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Perdana Menteri, keputusan itu juga menjadi bukti keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara yang semakin kukuh di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh asas ekonomi demi memastikan daya saing jangka panjang termasuk dalam usaha menarik pelabur berkualiti tinggi seperti Shell.

Untuk info, Shell telah beroperasi di Malaysia selama lebih 130 tahun dengan penglibatan aktif dalam sektor tenaga meliputi penapisan, pengeluaran minyak dan gas serta tenaga boleh baharu.

Related Articles

Back to top button