Malaysia naik tangga ke-23 di Daya Saing Global

PETALING JAYA: Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2025, pencapaian terbaik negara sejak tahun 2020.
Perkembangan itu diumumkan semasa pembentangan Kad Laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi suku kedua 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan peningkatan itu sebagai bukti kejayaan reformasi birokrasi serta peningkatan produktiviti yang dilaksanakan secara berterusan di bawah pentadbiran semasa.
Menurutnya, di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor pembuatan negara turut menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, di mana nilai tambah KDNK sektor ini meningkat 4.1 peratus kepada RM95.7 bilion pada suku pertama 2025.
Selain itu, katanya, sektor pembuatan mencipta 50,000 pekerjaan baharu, menjadikan jumlah tenaga kerja dalam sektor ini mencecah 2.87 juta orang.
“Gaji median pekerja juga naik 5.4 peratus kepada RM2,745 sekali gus menunjukkan satu penanda aras positif terhadap kemajuan sektor.
“Dalam aspek perdagangan, sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan 14.6 peratus, manakala pelaburan digital melonjak kepada RM310.7 bilion, menggambarkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi digital Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Peningkatan itu katanya, dilihat sebagai hasil gabungan dasar pro-bisnes, kestabilan politik dan hala tuju ekonomi jangka panjang yang lebih jelas.
“Kita sedang membina momentum baru menuju kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Tengku Zafrul.
Malah beliau berkata, kedudukan Daya Saing Dunia IMD mengukur prestasi ekonomi 67 negara berdasarkan kecekapan kerajaan, keberkesanan perniagaan, infrastruktur dan prestasi ekonomi.
Tambah beliau, kenaikan ketara Malaysia tahun ini mencerminkan hasil pelaksanaan reformasi dasar industri dan pelaburan yang mampan di bawah NIMP 2030.