Uncategorized

Malaysia naik 11 anak tangga WCR, bukti kejayaan dasar fiskal kerajaan – Pakar

KUALA LUMPUR: Kenaikan Malaysia sebanyak 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 disifatkan sebagai bukti nyata kejayaan dasar fiskal kerajaan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap arah tuju ekonomi negara.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyifatkan pencapaian itu sebagai luar biasa, memandangkan Malaysia bukan sahaja berjaya memulihkan kedudukan selepas kemerosotan tahun lalu, malah melonjak lebih tinggi berbanding sebelumnya.

“Tahun lalu kita jatuh tujuh anak tangga tetapi kini naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dunia.

“Ini sesuatu yang jarang berlaku dan petanda jelas bahawa dasar kerajaan mula menunjukkan kesan positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kemajuan itu hasil gabungan beberapa langkah utama kerajaan termasuk pendekatan fiskal berhati-hati, pelaksanaan subsidi bersasar serta reformasi struktur yang memperkukuh daya saing ekonomi.

“Penyelarasan subsidi ini walaupun mencabar dari segi politik, sebenarnya sedang memperkukuh struktur ekonomi kita,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa manfaat pertumbuhan itu masih belum sepenuhnya dirasai rakyat.

“Dalam jangka sederhana, kita akan mula lihat kesan melalui pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan pasaran kerja yang lebih rancak,” ujarnya.

Tambah beliau, lonjakan dalam ranking itu dijangka memberi kesan limpahan kepada gaji sektor swasta dan menjadi petanda positif kepada pelabur.

“Kedudukan baharu ini penting. Ia akan meningkatkan keyakinan pelabur dan memberi isyarat positif kepada pasaran,” katanya.

Terdahulu, Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam WCR 2025, berbanding tempat ke-34 tahun lalu dan ini merupakan kedudukan terbaik negara sejak 2020.

Related Articles

Back to top button