Dr Zaliha, Mat Sabu dan pimpinan Amanah hadir lawat Salahuddin
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melawat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Ahad.
Beliau dilihat hadir lebih kurang jam 8.11 malam di pekarangan hospital disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Othman Warijo.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula tiba kemudiannya sambil diiringi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh pada jam 8.50 malam.
Difahamkan, beberapa pimpinan dari Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka hadir termasuklah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
Anak perempuan kepada Salahuddin, Siti Fatihah dalam satu kenyataan sebelum ini memohon orang ramai mendoakan bapanya.
Beliau turut memohon agar ruang diberikan kepada pihak keluarga sahaja untuk melawat bapanya.
Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Salahuddin juga telah selamat menjalani pembedahan pagi semalam dan berada dalam keadaan stabil di HSB.