Nasional

Hipokrasi individu, persoal Kerajaan tapi beri data di media sosial – Pakar

PETALING JAYA: Sikap selektif segelintir individu yang lebih bimbang terhadap pengumpulan data oleh kerajaan, namun dalam masa sama memberikan data tanpa sedar di media sosial dipersoalkan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Selvakumar Manickam berkata ragam sebegitu mendedahkan hipokrasi dalam kalangan masyarakat kita sendiri.

Menurutnya lagi kepercayaan terhadap syarikat teknologi gergasi seperti Meta, Google dan Apple yang mengumpul data pengguna secara terperinci untuk tujuan komersial juga tidak jadi masalah buat golongan ini.

“Majoriti rakyat Malaysia berkongsi data peribadi mereka secara terbuka di media sosial termasuk lokasi, rutin harian dan maklumat anak-anak. Namun, perhatian terhadap eksploitasi data oleh syarikat luar masih terlalu rendah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis IPv6 APAC dan Pakar Keselamatan Siber, Prof Emeritus Dr. Sureswaran Ramadass, menjelaskan bahawa data yang dikumpulkan di bawah program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) adalah berbentuk agregat, tanpa identiti peribadi dan tidak boleh dijejak kepada individu lain.

“Data ini digunakan untuk menilai liputan rangkaian, kepadatan peranti dan kesediaan semasa bencana. Ia tidak melibatkan nama, nombor telefon atau kandungan mesej,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa program ini mematuhi undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dan tidak digunakan untuk tujuan komersial atau pemantauan individu.

“Kepercayaan awam perlu dibina melalui ketelusan dan fakta, bukan melalui ketakutan terhadap naratif yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.

Related Articles

Back to top button