PDRM tahan lelaki tempatan pasang Jalur Gemilang terbalik

PULAU PINANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang telah menahan seorang lelaki tempatan susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang mencetuskan kebimbangan awam dan kemarahan netizen.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa pihaknya menerima sebanyak 16 laporan polis berhubung kejadian tersebut dari seluruh negara.
“Membabitkan 12 laporan di Pulau Pinang, manakala empat lagi laporan polis dari luar Kontinjen Pulau Pinang,” katanya.
Menurut Alwi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang pada 11.08.2025 dengan cadangan pertuduhan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa PDRM memandang serius perbuatan tersebut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.
“Orang ramai diingatkan agar menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara,” tegasnya.