Tatakelola Kerajaan Madani Mula Beri Hasil Rakyat – PKR

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula menunjukkan hasil apabila rakyat, khususnya golongan B40, menerima pelbagai bentuk bantuan yang dianggarkan mencecah hampir RM5,000 setahun, kata Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin
Menurutnya, dalam keadaan negara berdepan krisis ekonomi global serta kesan ketirisan yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, bukan sesuatu yang mudah untuk bangkit semula, lebih-lebih lagi ketika kerajaan turut memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Namun kita dapat lihat bagaimana kerajaan hari ini menarik pelaburan dan menceburi sektor baharu seperti semikonduktor bagi menjana pendapatan negara.
Razeef berkata demikian susulan pengumuman bantuan Oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menurutnya membuktikan kejayaan hala tuju Malaysia MADANI dalam memastikan tiada golongan tercicir, terutama kalangan berpendapatan rendah.
“Sebagai contoh, selain bantuan SARA RM100 secara one-off, golongan B40 turut menerima RM200 sebulan menerusi SARA, serta RM2,500 menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Ini bermakna mereka sebenarnya menerima sehingga hampir RM5,000 setahun, atau kira-kira RM400 sebulan,” katanya lagi.
Razeef turut menegaskan bahawa jumlah bantuan itu merupakan sesuatu yang tidak dijangka rakyat, apatah lagi dalam keadaan ekonomi mencabar.
“Inilah hasilnya apabila negara dipimpin oleh mereka yang mementingkan kantung rakyat, bukan segelintir elit politik,” katanya.
Razeef menambah, soal tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan diserahkan kepada penilaian rakyat sendiri, namun tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai usaha kini telah membuahkan hasil yang nyata.