Nasional

Protes Hanya Sementara Tak Beri Impak Besar – Penganalisis

PETALING JAYA: Gelombang protes seperti Himpunan Turun Anwar yang berlangsung baru-baru ini dilihat hanya bersifat sementara dan tidak memberi impak besar kepada kestabilan politik negara, kata penganalisis politik Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid.

Menurut beliau, himpunan sedemikian adalah biasa luahan ketidakpuasan hati rakyat terhadap isu semasa seperti kos sara hidup dan prestasi kerajaan, namun tidak cukup kuat untuk menggugat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen.

“Himpunan seperti ini tidak akan menjatuhkan kerajaan secara automatik.

“Ia adalah bentuk ekspresi politik rakyat, tetapi tidak cukup untuk menggoyahkan struktur kuasa dalam Parlimen,” katanya yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jelasnya lagi, perubahan kepimpinan kerajaan hanya boleh berlaku melalui saluran formal seperti kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, usul undi tidak percaya, peletakan jawatan atau pembubaran Parlimen atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dr Kartini turut menekankan bahawa rakyat Malaysia secara umumnya memilih pendekatan damai dan rasional berbeza dengan keadaan di sesetengah negara yang menyaksikan kejatuhan kerajaan melalui desakan jalanan.

“Berbanding negara seperti Bangladesh di mana pemimpinnya diusir melalui tunjuk perasaan besar-besaran, rakyat Malaysia masih berpegang pada prinsip demokrasi dan penyelesaian melalui saluran sah,” ujarnya lagi ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Himpunan Turun Anwar yang diadakan minggu lalu di ibu negara ditaja oleh pihak pembangkang.

Tular di media sosial apabila tinjauan oleh beberapa portal berita menyaksikan ramai yang diwawancara tidak jelas tujuan kehadiran mereka, malah apabila ditanya siapa yang akan menggantikan Anwar jika turun, ramai yang gagal memberi jawapan dengan yakin.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button