Global

Kemboja Komited Selesai Sengketa, Hargai Malaysia Anjur Rundingan Damai

PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja menyatakan komitmen teguh untuk menyelesaikan konflik sempadan yang berlaku dengan Thailand, sambil merakamkan penghargaan mendalam kepada Malaysia atas peranannya sebagai perantara utama dalam meredakan ketegangan.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, bertindak pantas dengan menganjurkan mesyuarat khas antara kedua-dua negara di Putrajaya pada Isnin lalu, dalam usaha memperkukuh pelaksanaan gencatan senjata yang telah dipersetujui.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, delegasi Malaysia yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, telah dihantar ke Kemboja semalam untuk memantau pelaksanaan perjanjian tersebut.

“Kemboja merakamkan penghargaan mendalam kepada Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN semasa, atas tindakan pantas menghantar delegasi yang diketuai Panglima Angkatan Tentera ke Thailand dan Kemboja bagi membincangkan pembangunan mekanisme terperinci untuk pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan gencatan senjata,” menurut kenyataan itu.

Langkah diplomatik ini disifatkan sebagai bukti kepimpinan berwibawa Malaysia dalam menggalas tanggungjawab serantau, selain menunjukkan solidariti ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button