Politik

PKR Sabah Bidas Warisan Isu Banjir, Konsesi Air Dan Pan Borneo

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah hari ini membidas kenyataan Warisan yang didakwa mengelirukan berhubung isu banjir, konsesi air serta projek Lebuhraya Pan Borneo.

Menurut pejabat penerangan MPN PKE Sabah, sebagai parti komponen kerajaan yang turut mempunyai seorang timbalan menteri persekutuan, Warisan sepatutnya menyokong usaha kerajaan menangani bencana dan memperkukuh perkhidmatan asas, bukannya menimbulkan persepsi negatif terhadap penjawat awam.

“Usaha membantu mangsa banjir adalah tanggungjawab bersama kerajaan, NGO, komuniti setempat mahupun parti politik. Jangan sesekali memperlekeh jasa barisan hadapan,” tegas kenyataan itu.

Berhubung isu penamatan konsesi loji rawatan air, PKR Sabah menegaskan bekalan terganggu kerana kerajaan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal gagal menyediakan pelan peralihan yang jelas.

Kerajaan GRS-PH, menurut kenyataan itu, terpaksa memilih penyelesaian luar mahkamah bagi mengelak pampasan lebih besar, selain memastikan operasi tidak terjejas.

“Tuduhan kononnya langkah itu untuk ‘membersihkan isu lama’ adalah tidak bertanggungjawab. Fokus kerajaan kini membaiki infrastruktur dan mengelak skandal seperti ‘duit dalam almari pejabat’ berulang,” kata MPN Sabah.

Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo, PKR Sabah menegaskan Warisan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kerana pada Januari 2020, Shafie sendiri mengakui keputusan membatalkan PDP dibuat atas pertimbangan politik.

Kenyataan itu menyifatkan kelemahan penyelarasan selepas pembatalan menyebabkan projek tergendala, sekali gus menangguhkan manfaat kepada rakyat.

Kini, kata PKR Sabah, kerajaan MADANI bersama kerajaan negeri memberi komitmen penuh memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan rangkaian jalan raya moden di seluruh Sabah.

“Rakyat mahu penyelesaian, bukan polemik”

MPN PKR Sabah menegaskan rakyat tidak mahu terus disajikan dengan pertelingkahan politik, sebaliknya menuntut penyelesaian segera terhadap banjir, bekalan air dan pembangunan infrastruktur.

Related Articles

Back to top button