
PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung usaha membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, titah itu jelas mengingatkan bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan.
“Patik menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda dan kementerian akan memastikan mesej antibuli disampaikan secara menyeluruh dan berkesan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kementerian akan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital bagi memastikan mesej ini sampai kepada semua lapisan rakyat.
Selain itu, tindakan susulan rentas kementerian akan digerakkan agar mesej antibuli dapat difahami dan diamalkan oleh murid, pelajar, ibu bapa serta komuniti secara bersepadu.
“Kami juga akan mengarusperdanakan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat,” jelasnya lagi.
Fahmi menegaskan bahawa titah Seri Paduka Baginda selari dengan komitmen Kerajaan MADANI melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan menangani isu buli dengan lebih tegas.
Isu buli mendapat perhatian selepas beberapa kes tular, dan kerajaan memperkenalkan pendekatan menyeluruh melalui pendidikan, penguatkuasaan undang-undang serta kempen kesedaran awam untuk mengekangnya.