Henti Sebar Gambar Tikam Pelajar- MCMC

Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Menerusi kenyataan media pada Rabu, MCMC menggesa semua pihak agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan, termasuk gambar atau video yang memaparkan mangsa, pelajar lain, atau lokasi kejadian.
“Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya,” katanya.
MCMCM menjelaskan perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pihaknya turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Sebelum ini media melaporkan, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas disyaki menikam seorang pelajar perempuan tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama Petaling Jaya hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, memaklumkan kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi ketika kedua-dua pelajar itu dipercayai berada di luar kelas.
Kejadian tikaman itu turut menyebabkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun disahkan maut.