70 Atlet Dunia Bersatu Desak UEFA Gantung Israel Dari Bola Sepak Eropah

EROPAH: Lebih 70 atlet antarabangsa termasuk bintang bola sepak ternama seperti Paul Pogba dan Hakim Ziyech, tampil bersatu dalam satu gesaan lantang kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) agar menggantung penyertaan Israel daripada sebarang pertandingan bola sepak.
Memetik laporan Al Jazeera, desakan itu disuarakan secara kolektif oleh kumpulan Athletes for Peace yang menyatakan kejemuan terhadap tindakan Israel yang didakwa terus-menerus melanggar hak asasi manusia rakyat Palestin.
Surat rasmi bertajuk ‘Permainan Tamat Buat Israel’ telah dihantar kepada Presiden UEFA, Aleksander Ceferin pada Selasa, menuntut agar hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) diputuskan serta-merta.
“Tiada gelanggang, pentas atau arena antarabangsa sepatutnya memberi ruang kepada rejim yang melakukan genosid, apartheid dan jenayah terhadap kemanusiaan,” isi kandungan surat itu.
Surat itu turut menyatakan bahawa kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang hanya akan berakhir apabila tekanan global dikenakan secara berterusan.
“Tekanan wajar dikenakan bagi menghalang rejim Israel mengikuti daripada mana-mana acara sukan dan budaya di dunia ini,” katanya.
Antara nama besar yang menyokong gesaan ini termasuk pemenang Piala Dunia Perancis Paul Pogba, penyerang Belanda Anwar El Ghazi, pemain Maghribi Hakim Ziyech dan pemain sayap Sepanyol Adama Traore.
Sokongan turut datang daripada pertubuhan hak asasi seperti Hind Rajab Foundation dan Gaza Tribunal.
Kempen itu memperkukuh momentum desakan global terhadap UEFA agar mengambil tindakan tegas khususnya selepas insiden kekejaman yang berlaku dalam perang di Gaza.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Turki, Ibrahim Haciosmanoglu, turut menyuarakan sokongan terhadap penggantungan Israel daripada saingan bola sepak Eropah.
Malah, Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) telah meluluskan resolusi yang sama awal bulan ini, menandakan gelombang solidariti yang semakin meluas.



