Nasional

Penantian 40 Tahun Berakhir: Warga Emas Akhirnya Berpeluang Jumpa PM

oleh Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Penantian lebih empat dekad berakhir dengan air mata kegembiraan bagi seorang warga emas, Aminah Sulaiman, apabila impiannya untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjadi kenyataan.

Momen penuh emosi itu tular di media sosial selepas Aminah berkongsi perasaannya dalam sebuah video yang dirakam sejurus pertemuan tersebut.

Aminah berkata, beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk bertemu Anwar dan tidak pernah hilang keyakinan meskipun menunggu sejak tahun 1984.

“Dari tahun 1984 saya mau jumpa dia (Anwar). Akhirnya aku sudah jumpa dia. Saya bersyukur,” katanya menerusi satu video.

Beliau berkata, pelbagai dakwaan tidak benar yang pernah dilemparkan terhadap Anwar tidak pernah menggoyahkan pendiriannya selama ini.

“Kerana dia (Anwar) dianiaya yang tidak betul… semua bohong. Saya tidak percaya,” katanya lagi.

Bagi Aminah, pertemuan itu bukan sekadar impian yang tertunai tetapi juga pengubat rindu perjuangannya sejak muda.

“Bayangkan dari muda sampai sekarang… di mana pun dia, aku mesti jumpa dia,” katanya sambil meluahkan rasa syukur dapat bersalam sendiri dengan Anwar.

Pertemuan tersebut berlaku ketika Anwar menziarahi peniaga dan penduduk setempat di Gerai Lokan dan Kelapa Bakar, Kampung Salut, selepas menghadiri program bersama pimpinan masyarakat dan usahawan pada Khamis.

Difahamkan, Aminah sanggup menyewa kereta semata-mata untuk hadir ke lokasi itu bagi menyampaikan penghargaan terhadap usaha Kerajaan MADANI membantu rakyat.

Anwar dalam reaksinya berkata, penduduk kampung termasuk Aminah berkongsi bahawa mereka kini lebih tenang selepas pelbagai inisiatif kerajaan mengurangkan beban hidup.

Beliau berkata, sokongan dan doa rakyat seperti Aminah menjadi dorongan untuk kerajaan terus memperkemas dasar demi memastikan setiap isi rumah menikmati pembangunan secara adil dan saksama.

Related Articles

Back to top button