Nasional

‘MySchoolBus’ Perkasa Akses Pengangkutan Pelajar di Kuala Lumpur

oleh Nadhirah Akmam

KUALA LUMPUR: Sejak diperkenalkan pada 2017, program MySchoolBus anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus menjadi nadi penting dalam meringankan beban kos sara hidup keluarga B40 dan M40 khususnya di kawasan perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menurut DBKL, program itu bukan sekadar menyediakan pengangkutan tetapi membuka jalan kepada ribuan pelajar untuk ke sekolah dengan lebih selamat, mudah dan teratur tanpa menambah tekanan kewangan ibu bapa.

“Ia menjadi simbol komitmen bandar raya terhadap kesejahteraan rakyat bagi memastikan pendidikan tidak terhalang oleh kekangan mobiliti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada 2021, inisiatif itu dikembangkan menjadi MySchoolBus@Wilayah, sebelum diperluaskan ke perumahan kos rendah swasta.

“Langkah itu diambil agar tiada pelajar tercicir hanya kerana masalah pengangkutan, sekali gus memperkukuh prinsip inklusif yang menjadi teras pembangunan Kuala Lumpur,” katanya.

Kini, program berkenaan meliputi 142 kawasan perumahan, dengan manfaat kepada antara 8,000 hingga 12,000 pelajar setiap tahun.

Sebanyak 107 operator bersama 221 kenderaan digerakkan bagi menghubungkan pelajar ke 296 sekolah, termasuk sekolah rendah, menengah dan pendidikan khas.

“Setiap anak Kuala Lumpur berhak menuju masa depan yang cerah dan perjalanan itu bermula dengan akses sekolah yang dipermudahkan,” kata DBKL.

Program ini jelas sejajar dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih penyayang, inklusif dan berdaya huni untuk semua lapisan masyarakat.

Bermula sebagai usaha kecil untuk mengurangkan beban kos pengangkutan keluarga berpendapatan rendah, MySchoolBus kini berkembang menjadi antara bantuan mobiliti terbesar di ibu kota.

Related Articles

Back to top button