Malaysia Hantar Pulang 397 Warga Indonesia di Bawah Program Pemindahan Tahanan PATI

oleh Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sabah pada Khamis melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 21/2025, melibatkan seramai 397 warga Indonesia yang dihantar pulang melalui laut ke Nunukan.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan besar-besaran itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan dengan kerjasama rapat Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu.
Katanya, proses penghantaran dilakukan melalui Terminal Feri Tawau menggunakan tiga feri iaitu Francis Express, Labuan Express dan Purnama Express bagi memastikan perjalanan berjalan lancar dan teratur.
“Daripada jumlah keseluruhan, 286 adalah lelaki dewasa, 76 wanita dewasa, 31 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta empat bayi berumur bawah dua tahun, masing-masing diiringi penjaga.
“Setakat ini, JIM Sabah telah menghantar pulang 2,251 warga Indonesia sepanjang tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan 10,212 PATI dipindahkan keluar dari Sabah sejak Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, semua tahanan terbabit telah menjalani hukuman mengikut undang-undang dan diberikan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang dikeluarkan KJRI sebagai dokumen perjalanan sah.
“Majikan disaran memastikan pekerja asing memiliki dokumen lengkap.
“Tindakan tegas termasuk denda, penjara dan sebatan akan dikenakan jika melindungi PATI,” katanya.
Program pemindahan PATI ini telah menjadi rutin berkala sejak beberapa tahun lalu, bergantung kepada proses pengeluaran SPLP oleh KJRI.
Ia dilihat sebagai langkah berterusan untuk mengurangkan lambakan pendatang tanpa izin di Sabah, sekali gus memastikan kawalan imigresen lebih ketat dan teratur.



