Pasangan Bakal Pengantin Terkorban, MPV Jatuh Ke Dalam Gaung

oleh Nadhirah Akmam
KUALA BERANG: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terjatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) sehingga mengorbankan dua nyawa pada petang Jumaat.
Mangsa, Hassan Shazali, 52, seorang guru dan pasangannya, Suzaimah Che Azis, 34, pekerja kantin, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pasangan itu difahamkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan sekitar pukul 5.30 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati MPV terbabit dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di laluan yang telah ditutup akibat tanah runtuh.
“Hassan dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Gua Musang, Kelantan.
“Ketika tiba di lokasi, kenderaan dipercayai melalui laluan yang ditutup dan kemudian hilang kawalan,” katanya.
Menurut beliau, Suzaimah tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Hassan turut disahkan maut di lokasi.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.
Kata Sharudin, kejadian berlaku di jalan Persekutuan yang ditutup sepenuhnya berikutan tanah runtuh dan permukaan jalan tidak rata, manakala keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



