Nasional

Fadhlina Lulus Penyediaan Bilik Khas Pembelajaran Islam dan Ruang Solat Di SJKC Lay Keow

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluluskan pembinaan bilik khas pembelajaran Islam dan ruang solat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lay Keow, susulan permohonan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Menurut Fadhlina, sekolah berkenaan semakin mendapat perhatian apabila mencatat peningkatan ketara enrolmen murid Melayu dari tahun ke tahun, menjadikannya contoh terbaik integrasi budaya dan pendidikan.

“SJKC Lay Keow sangat istimewa. Ia dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terus menunjukkan perkembangan positif terutama dari segi penyertaan murid Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pihak sekolah telah menyuarakan hasrat menyediakan bilik pembelajaran Islam semasa lawatan Perdana Menteri ke Permatang Pauh bulan lalu.

“Alhamdulillah, permintaan tersebut saya tunaikan selepas berbincang bersama pihak sekolah dan komuniti pendidikan,” katanya.

Fadhlina turut memuji pencapaian sekolah itu yang menjadi kebanggaan kawasan berikutan komitmen tinggi terhadap inovasi dan penjagaan alam sekitar.

Katanya, kejayaan murid pelbagai kaum mengharumkan nama sekolah itu adalah hasil usaha berterusan guru dan pentadbir dalam membentuk sahsiah serta karakter melalui pelbagai aktiviti.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh warga SJKC Lay Keow,” tambahnya.

Untuk rekod, SJKC Lay Keow merupakan antara sekolah paling aktif di Permatang Pauh dalam melaksanakan program kelestarian dan inisiatif pendidikan inklusif yang menekankan perpaduan serta nilai MADANI.

Related Articles

Back to top button