Lebih 500,000 Pengunjung Raikan Kemeriahan Rancakkan MADANI

oleh Nadhirah Akmam
PUTRAJAYA: Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 mencatat sambutan luar biasa apabila merekodkan kehadiran seramai 502,804 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran di Dataran Putrajaya.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berlangsung dari 5 hingga 7 Disember lalu.
Selain kehadiran pengunjung yang memberangsangkan, program itu turut merekodkan pencapaian ekonomi ketara apabila jualan MADANI mencecah RM2.15 juta, merangkumi jualan usahawan, Jualan RAHMAH, Jualan Agro, Pesta Rasa @ Selera Malaysia dan trak makanan.
Inisiatif padanan perniagaan pula mencatat nilai melebihi RM400,000, manakala kaunter bayaran kompaun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumpul kutipan keseluruhan sebanyak RM134,473.
Dalam aspek peluang pekerjaan, seramai 1,252 individu menerima surat tawaran hasil sesi temu duga terbuka yang diadakan sepanjang program berkenaan.
Program ini telah disempurnakan penutupannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri serta kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri.
Berucap pada majlis tersebut, Anwar berkata program itu menjadi platform terbaik untuk rakyat menilai secara langsung pencapaian serta pelaksanaan inisiatif Kerajaan MADANI.
“Program ini membolehkan perkhidmatan dan manfaat kerajaan disampaikan terus kepada rakyat di satu lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Program Rancakkan MADANI menampilkan kira-kira 500 pengisian merangkumi lapan segmen utama dan turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif baharu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat.



