Karma politik kini hantui Tun Mahathir, kerap buruk & jatuhkan PM Anwar

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad kini berdepan situasi politik yang terdesak, seakan menerima ‘karma politik’ selepas sering memburukkan dan cuba menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Dalam satu video, Lokman berkata, Mahathir kerap menyalahkan Anwar dan Kerajaan MADANI atas pelbagai isu negara termasuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.
“Mahathir lagi? biasalah. Mahathir hari ini berada dalam keadaan yang terlalu terdesak. Apa benda yang berlaku semua salah Anwar Ibrahim.
“Apa benda yang berlaku semua salah Kerajaan MADANI.
“Apa benda yang berlaku pun semua dia nak desak supaya Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Lokman mengulas mengenai laporan media antarabangsa yang didakwa mendedahkan kekayaan serta aset milik Mahathir bernilai berbilion USD.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai berpatah semula kepada Mahathir kerana media antarabangsa yang pernah digunakan untuk mengkritik pentadbiran Najib kini menumpukan kepada pendedahan berkaitan Mahathir sendiri.
“Dulu dia (Mahathir) menggunakan media antarabangsa ini untuk burukkan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
“Bila hari ini media, sudah mendedahkan tentang aset beliau yang bernilai berpuluh bilion USD dan banyak tentang beliau,” katanya.
Lokman kemudian menyifatkan keadaan yang menimpa Mahathir sebagai balasan atau karma politik.
“Jadi hari ini boleh dikatakan umpama karma bagi Mahathir.
“Segala apa yang dia buat sebelum ini, hari ini terpalit kat muka dia.
“Bagaikan meludah ke langit, kena setepek kat muka dia sendiri. Baru dia ada akal sikit, tuan-tuan,” katanya.
Terdahulu, menurut laporan Yahoo Finance UK, Mahathir ditempatkan di tangga ke-7 dalam senarai 10 pemimpin terkaya dengan anggaran kekayaan sekitar USD40 bilion.
Laporan itu turut mendakwa bahawa kekayaan berkenaan berpunca daripada kepentingan dalam lebih 50 bank di seluruh dunia



