Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 Perkukuh Ekosistem Pendidikan Tinggi Negara

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Pembentangan Khas Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, sebuah rangka kerja jangka panjang yang digubal bagi memperkukuh hala tuju dan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Pelan itu dilihat sebagai asas penting untuk memastikan sistem pendidikan tinggi lebih inklusif, berkualiti dan berdaya saing dalam melahirkan generasi masa depan yang bersedia menghadapi cabaran global.
Anwar berkata, pendidikan tinggi perlu terus diperkasakan agar selari dengan keperluan semasa termasuk perubahan teknologi, ekonomi dan landskap pekerjaan yang semakin dinamik.
“Pelan ini digubal sebagai ‘living document’ yang akan terus berkembang seiring kemunculan teknologi baharu dan keperluan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan antara disiplin serta penyelidikan berorientasikan misi yang digariskan dalam pelan tersebut bakal memacu inovasi dan transformasi masyarakat secara menyeluruh.
Usaha itu katanya, penting untuk memastikan institusi pendidikan tinggi kekal relevan dan mampu menjadi pemangkin pembangunan negara.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan pelan itu memerlukan sokongan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat bagi menjamin keberkesanan serta pencapaian matlamat yang digariskan.
Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 dirangka sebagai kesinambungan agenda reformasi di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Matlamatnya adalah membina negara yang harmoni, makmur, berteknologi maju dan mampan melalui pendidikan berkualiti yang mampu melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat global



