Semasa

‘Pakar Bedah’ Terlibat Kes Zara Qairina Kini Diburu MCMC & PDRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang pengguna TikTok yang menyamar sebagai pakar bedah, kononnya terlibat dalam proses bedah siasat pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata individu itu mendakwa hadir pada bedah siasat pada 10 Ogos lalu, namun semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dia bukan doktor pakar mahupun petugas kementerian.

“Individu berkenaan menyebarkan pelbagai maklumat tidak sahih melalui siaran langsung TikTok sehingga memberi gambaran seolah-olah benar berlaku. Malangnya, kandungan itu tular dan menimbulkan kekeliruan awam,” katanya, memetik Bernama pada Sabtu.

Menurutnya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengesahkan perkara itu berdasarkan laporan rasmi daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Nor Azimi Yunus, yang memperoleh maklumat sahih daripada pakar forensik terlibat.

“Ketua pasukan forensik kes ini mengesahkan individu tersebut bukan pakar forensik, dan semua maklumat disebarkan adalah palsu. Akaun TikToknya kini ditukar kepada tetapan peribadi, menyukarkan pihak berkuasa berhubung dengannya,” jelas Fahmi.

Beliau mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah mempercayai dakwaan tidak berasas di media sosial, terutama daripada sumber tidak dikenali.

“Penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” tegasnya.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar

Related Articles

Back to top button