Lelaki maut dalam kebakaran kondominium Mont Kiara

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditemui maut dalam kebakaran di sebuah unit kondominium Tiffani Kiara by i-Zen, Mont Kiara, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan mangsa ditemui di balkoni unit tingkat 26 dengan kesan melecur di seluruh badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 8.46 malam melalui sistem NG999 sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba Sri Hartamas, Menjalara, Sentul dan Taman Tun Dr Ismail ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, usaha memadam api berdepan kesukaran berikutan sistem pencegahan kebakaran bangunan didakwa tidak berfungsi dengan baik.
Anggota bomba terpaksa menggunakan dua pam mudah alih dan pam enjin bagi menyalurkan air ke unit terbabit.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 1,500 kaki persegi kediaman dan berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 2.03 pagi. Punca kejadian sedang disiasat unit forensik bomba.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, melalui hantaran di Facebook memaklumkan kerja pembersihan asap masih dijalankan dan penduduk diminta menunggu arahan bomba sebelum kembali ke kediaman masing-masing.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan forensik selesai, selain akan mengadakan mesyuarat tergempar selepas proses itu bagi menjalankan audit keselamatan.



