Permaisuri Selangor tegaskan kepentingan komunikasi asas persefahaman

KUALA LUMPUR: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, pada Jumaat merasmikan pelancaran Laman Web PRactitioners serta Kod Etika dan Integriti dalam Perhubungan Awam semasa Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global 2025 di World Trade Centre, dekat sini.
Baginda dalam titahnya menekankan kepentingan komunikasi sebagai asas yang membina persefahaman, kepercayaan dan kemajuan masyarakat, terutama dalam era dunia yang penuh ketidaktentuan dan perubahan pantas.
“Teknologi hanya sebaik niat yang menggerakkannya. Kemajuan sebenar terletak pada keikhlasan, bukan kepantasan,” titah baginda dalam ucapannya.
Tengku Permaisuri turut mengiktiraf kepimpinan Datuk P. Kamalanathan, pengasas dan Pengerusi Public Relations Practitioners Society of Malaysia (PRactitioners), yang disifatkan sebagai tokoh yang menetapkan tahap kecemerlangan dan etika dalam industri komunikasi.
Baginda menegaskan bahawa pengamal perhubungan awam bukan sekadar pencerita, tetapi penjaga kebenaran dan arkitek kepercayaan. Menurut baginda, setiap mesej yang disampaikan perlu berlandaskan kejujuran serta nilai kemanusiaan.
Dalam konteks aliran maklumat yang tidak putus, baginda mengingatkan bahawa cerita yang dibentuk dan nilai yang dijunjung akan mempengaruhi cara dunia melihat rantau ASEAN sebagai komuniti yang menghargai hormat, harapan dan tanggungjawab bersama.
Baginda turut menyeru agar setiap kempen komunikasi dibina untuk memupuk kefahaman, bukannya perpecahan.
“Komunikasi yang dipandu suara hati mampu menyembuh, membina semula kepercayaan dan memperbaharui harapan,” titahnya.
Persidangan hari kedua ini turut menghimpunkan pengamal industri dari dalam dan luar negara, selain golongan muda yang menyertai persidangan tahunan itu bagi memperkukuh rangkaian profesional dan pembangunan ilmu dalam bidang komunikasi strategik.



