PH-BN Kedah manifesto PRN Khamis ini
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan melancarkan manifesto bersama Khamis ini.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan sambil menjelaskan manifesto itu bakal menyantuni semua golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, perindustrian, pelancongan dan golongan belia itu diyakini mampu membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.
“Ada banyak perkara yang akan dibentangkan dalam manifesto itu. Manifesto tersebut akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri ketika ini bukan saja gagal, malah tak buat apa-apa pun.
“Apa yang beliau (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) buat selain mengata orang lain? Kalau nak jadi pemimpin, anda kena serius kerana antara kepimpinan negeri dengan rakyat, di tengah-tengahnya ada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan program demi pembangunan negeri.
“Tetapi kalau anda tak serius selain tidak memiliki inovasi serta kreativiti, apa yang pegawai kerajaan nak laksanakan? Sebab itu ketika ini, tak ada apa yang rakyat dapat walaupun sudah tiga tahun mereka memerintah,” katanya pada Selasa.
Difahamkan pelancaran manifesto itu akan diadakan di tapak letak kereta, Bandar Laguna Merbok pada jam 9 malam.
Pada majlis itu setiap calon BN dan PH akan berada di pentas untuk diperkenalkan kepada umum.
Sementara itu jelasnya, Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri turut bersetuju untuk melaksanakan jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen.
Bagi tujuan itu satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan untuk menyelaras siri jelajah tersebut.
“Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin Pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan kita umumkan dari semasa ke semasa,” kata bekas Menteri Besar itu lagi.