Semasa

Setiausaha Politik menteri buat laporan polis terhadap ‘Papagomo’

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada Selasa mengesahkan pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai “Papagomo”

Laporan itu dibuat Abdullah Izhar Mohamed Yusof pada 11.12 pagi di Balai Polis Pantai susulan satu kenyataan fitnah dibuat blogger itu berkaitan Festival Good Vibes.

Melalui video berdurasi 3.24 saat di Facebooknya, Papagomo didakwa telah memburukkan kerajaan dengan menyatakan insiden ‘The 1975’ itu dirancang oleh kerajaan.

Justeru beliau memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat akaun Facebook Papagomo serta lelaki yang memfitnah kerajaan dalam video itu.

“Saya juga memohon pihak PDRM menyiasat semua platform media sosial milik Sir Azri untuk memastikan tiada sebarang fitnah dan berita palsu disebarkan kepada rakyat Malaysia. Perbuatan tersebut hanya akan menggugat keamanan serta keharmonian kaum dan agama,” katanya.

Difahamkan, video tersebut mengandungi perbualan antara pemilik akaun Facebook berkenaan dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya bekas kru penganjur konsert terbabit.

Mengulas mengenai insiden “The 1975”, beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah serta merta dengan membatalkan festival berkenaan namun isu itu dimanipulasi serta dijadikan platform oleh segelintir pihak yang bermotifkan politik demi menjatuhkan pihak kerajaan.

“Justeru itu, pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook dikenali ‘Sir Azri’ atau ‘Papagomo’ agar ianya tidak dijadikan ikutan kepada pihak lain dalam memfitnah kerajaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button