Semasa

PM mahu majlis Qasidha dan Selawat diperluas seluruh negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat memperluaskan pelaksanaan program zikir dan selawat ke seluruh negara.

Ketika berucap pada Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati malam tadi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia bagi memupuk perasaan cinta serta mengingati Allah dan Nabi Muhammad dalam kalangan umat Islam.

Selain itu jelasnya program seumpamanya penting untuk menyebarkan nilai dan akhlak yang diterapkan Nabi Muhammad, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang digagaskannya.

“Alhamdulillah, malam ini bukan saja kita gegarkan Stadium Tertutup Malawati, tapi saya percaya dalam negara MADANI ini, alunan selawat pada Nabi Muhammad SAW turut menggegarkan seluruh Malaysia tercinta.

“Saya juga rasa bersemangat untuk meneruskan acara seperti ini. Terima kasih kepada saudara Amirudin (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari) yang mencetus gegaran dari Selangor melalui selawat ini.

“Insya-Allah, mudah-mudahan kita jadikan Selangor (permulaan) dan menjelajah ke seluruh negara,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar yang berbaju Melayu putih dan bersampin tiba pada kira-kira jam 9.30 malam. Beliau meluangkan masa lebih 30 minit berqasidah dan berselawat bersama hadirin, yang dipimpin oleh Pengarang Qasidah Bahasa Melayu, Ustaz Neezam Albanjari.

Majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai).itu turut dihadiri beberapa ulama dan ilmuwan seperti Sheikh Ashraf Hamed Hassanin, Sheikh Abdullah Jahaf, Sheikh Abu Zaki Yusuf dan Dr Ahmad Fakhurrazi Mohammed Zabidi.

Selain berselawat dan zikir munajat, majlis bertemakan ‘Bernafas dalam Hawqalah, Fakir Ila Allah,’ yang dihadiri 5,000 hadirin itu turut diisi dengan program Gema Haflah Al-Quran, Qasidah dan Mahalul Qiyam serta Tausiyah

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau mahu meneruskan majlis tersebut ke beberapa negeri lain selepas enam Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir pada 12 Ogos depan.

“Biarlah selepas (selesai) sibuk-sibuk pilihan raya, tak mahu ganggu. Tapi selepas itu Insya-Allah kita akan (laksanakan jelajah) kerana majlis seperti ini mengetuk pintu hati nurani umat supaya ada kesedaran untuk menyegarkan hidup dengan mengingat, mengenang dan mencintai Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Related Articles

Back to top button