Semasa

Rafizi bidas ‘manifesto’ Muhyiddin nak turunkan kos sara hidup

Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu akan menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup dikritik Menteri Ekonomi.

Rafizi berkata, kenyataan Muhyiddin yang dianggap sebagai sebahagian manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) itu dilontarkan tanpa menjelaskan secara terperinci bagaimana ia bakal dilaksanakan.

Tidak sekadar itu, Rafizi menyifatkan Muhyiddin seolah-olah tidak menyedari bahawa kadar inflasi di Malaysia sudah pun turun selama enam bulan berturut-turut.

“Komponen penting untuk mengawal harga barang adalah dengan menambah bekalan.

“Nak turunkan harga, perlu tambah bekalan. Tambah bekalan bukan macam petik lalang tepi jalan,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Ahad.

Muhyiddin melalui laporan media baru-baru ini berkata, akan memberi tumpuan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup termasuk isu lonjakan harga barang dan inflasi dalam manifesto PRN gabungan itu di enam negeri.

Menurutnya, antara fokus dalam kempen kali ini adalah masalah pekerjaan, pendapatan rakyat yang masih rendah, kesihatan, pendidikan, perumahan, isu perubahan iklim, alam sekitar dan infrastruktur.

Dalam pada itu, Rafizi berkata semua yang dinyatakan Muhyiddin sedang dalam perhatian dan usaha kerajaan yang secara serius.

Di pihak kementeriannya sendiri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diperkenalkan bagi melipatgandakan infrastruktur dan kemudahan pertanian moden untuk membantu meningkatkan ekonomi sekaligus meningkatkan penglibatan anak-anak muda dalam industri pertanian moden.

“Kerajaan terdahulu ada laksanakan apa-apa untuk turunkan harga barang? Tidak ada. Sebab tidak menarik.

“Nak libatkan rakyat dalam industri tani moden bukan mudah, tapi kita mesti laksanakan,” katanya sebagai perbandingan usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan situasi ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Related Articles

Back to top button