KKM sasar pasang 111 AED di lokasi strategik seluruh negara
Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pemasangan 111 unit peranti defibrillator luaran automatik (AED) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata setakat ini, sebanyak 73 peranti yang dapat membantu mangsa serangan jantung itu sudah dipasang di lokasi strategik termasuk di pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam, sekolah, tempat ibadat dan pejabat kerajaan.
Beliau berkata, projek komuniti AED ini dilancarkan St John Ambulans Malaysia (SJAM) pada 2019 dan pemasangan peranti bermula 2020 untuk membantu pesakit jantung mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.
“Sehingga Julai ini, sebanyak 73 unit AED ditempatkan di Lembah Klang dan pada masa sama, kita meletakkan pembantu perubatan bersama SJAM.
“Hari ini buat pertama kalinya kita berikan tiga unit AED yang ditempatkan di luar dari kawasan Lembah Klang iaitu di Kelantan membabitkan di Masjid Al-Fattah, Pasar Besar Siti Khadijah dan Kompleks Belia dan Sukan Panji,” katanya.
Dr Zaliha ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Operasi Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans (PRPA) ‘Hotspot’ Kota Bharu sempena Hari Terbuka dan Program Komuniti Masyarakat SJAM di Masjid Al-Fattah Kampung Nilam.
AED merupakan peranti mudah alih yang dapat menganalisis denyutan jantung serta memberi nasihat kepada penyelamat sama ada untuk menyampaikan arus kejutan kepada mangsa.
Sementara itu Dr Zaliha turut memaklumkan sebanyak 20 lokasi ‘Hotspot’ Pusat Operasi Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans (PRPA) ‘Hotspot’ kendalian SJAM ditempatkan di seluruh negara.
Perkhidmatan itu, diperkenalkan bagi membantu mengurangkan masa tindak balas perkhidmatan ambulans, ketika
“Bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan masa tindak balas dicapai, pihak SJAM sedang berusaha untuk memperoleh kenderaan ambulans, peranti dan peralatan perubatan baharu.
“Purata masa tindak balas dengan pelaksanaan PRPA ‘Hotspot’ ini adalah 15 minit sekitar radius 10 hingga 15 kilometer.
“Justeru, kita harap usaha ini akan diteruskan secara berperingkat di lokasi lain. Bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan masa tindak balas cepat dicapai, SJAM berusaha memperoleh ambulans, peranti dan peralatan perubatan baharu,” katanya.