Nasional

KPKM perluas projek tanam beras SMART SBB ke seluruh negara

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berusaha memastikan projek tanaman beras SMART SBB Mini Sekinchan MADA-BERNAS dapat dilaksanakan secara berskala besar.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain itu kerajaan juga akan berusaha memperluas projek itu ke seluruh negara sebagai langkah memastikan bekalan beras di negara ini mencukupi.

Mengulas mengenai kemungkinan berlaku gangguan import berasa susulan keputusan India menghentikan pengeksportan beras, beliau menjelaskan, negara tidak berdepan kesan besar dari keputusan itu, namun sentiasa perlu bersedia dengan menghasilkan lebih banyak beras tempatan.

“India sudah umumkan akan henti export beras mereka. Pakistan, Veitnam dan Thailand juga kata begitu sekiranya cuaca terus tidak menentu tahun depan.. kita perlu bersedia.

“Kita bawa teknologi baru (tanaman padi) bermula di Sekinchan, Selangor. Kita bawa ke Perlis, Terengganu dan Pahang. Bagi projek di Arau (Perlis) yang akan dituai bulan Ogos, jika mampu capai 10 tan beras, kita akan perluaskan,” katanya.

Mohamed berkata begitu selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke-38 di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata langkah itu bukan sahaja meningkatkan keterjaminan bekalan beras di Malaysia, malah ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras export dan membantu negara mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.

“Selain itu, langkah itu juga mampu membantu meningkatkan pendapatan pesawah tempatan,” tambahnya.

Minggu lalu, Mohammad menyifatkan Malaysia perlu bersedia untuk mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.

Bercakap pada satu program di Alor Setar, beliau berkata tempoh enam tahun akan datang akan menjadi tempoh kritikan untuk negara mencapai matlamat itu berikutan risiko negara pengeksport mengurangkan atau menghentikan eksport makanan ruji itu bagi melindungi permintaan domestik masing-masing.

Bagi tujuan itu jelasnya, Kerajaan bercadang memperuntukkan RM3 bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) bagi memperluaskan lima musim penanaman dalam setiap dua tahun.

Related Articles

Back to top button