E-tunai RM100 diagihkan pada suku keempat tahun ini – MOF
Pemberian kredit e-tunai RM100 kepada golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40 akan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.
Kementerian Kewangan melalui satu kenyataan di Facebook rasmi kementerian memaklumkan bantuan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sedang diperincikan pihak kementerian dan pihak berkepentingan.
“Bantuan e-tunai ini akan memberi manfaat kepada lebih 10 juta penerima,” menurut kenyataan tersebut.
Anwar ketika melancarkan melancarkan kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, 27 Julai lepas mengumumkan kerajaan telah bersetuju dengan inisiatif terbaharu itu.
Bantuan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah itu melibatkan peruntukan RM1 bilion dan bertujuan untuk mendidik masyarakat berdepan dengan ekonomi digital dan tanpa tunai pada masa depan.