Negeri

Pulau Pinang terima pelaburan RM1.62 bilion dari Bosch

Bosch, syarikat pembekal global terkemuka bagi teknologi dan perkhidmatan merancang melabur kira-kira 350 juta euro (RM1.62 bilion) dalam bidang pengeluaran semikonduktur di Malaysia menjelang 2030.

Ahli Lembaga Sektor Mobiliti Bosch, Klaus Maeder berkata, pelaburan jangka panjang itu membabitkan kemudahan pengeluaran sokongan semikonduktor termaju di Asia untuk pengujian akhir cip dan sensor automotif. sekaligus membuktikan komitmen syarikat itu untuk melabur di Malaysia.

“Semikonduktor adalah kunci kejayaan semua bidang perniagaan Bosch. Tapak pengeluaran sokongan di Pulau Pinang menjadi komponen penting dalam strategi pertumbuhan dalam sektor mobiliti kerana kami bertindak balas terhadap peningkatan permintaan untuk semikonduktor.

“Kami memilih untuk melabur di Pulau Pinang kerana tahap pengetahuan semikonduktornya yang tinggi dan tenaga kerja mahirnya. Kedudukannya yang berdekatan dengan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan adalah satu lagi kelebihan, kerana ia akan memendekkan masa dan jarak penghantaran untuk cip,” kata selepas perasmian tapak pengeluaran sokongan semikonduktor berteknologi tinggi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Difahamkan, tapak di yang akan dibangunkan di Batu Kawan itu meliputi kira-kira 18,000 meter persegi dan termasuk bilik bersih, ruang pejabat, dan makmal untuk jaminan kualiti dan pembuatan.

Dengan keluasan tanah 100,000 meter persegi, kemudahan di Pulau Pinang itu adalah yang pertama seumpamanya bagi Bosch di rantau Asia Tenggara dan akan menumpukan terutamanya kepada pengeluaran sokongan iaitu pengujian akhir bagi cip yang dikeluarkan di kilang Bosch di Dresden, Jerman.

Sementara itu Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Klaus Landhaeusser berkata, pembukaan tapak pengeluaran di Pulau Pinang, ia membolehkan syarikat terus memperkukuh perniagaan semikonduktor dan jejak pembuatannya secara sistematik untuk memenuhi permintaan cip global.

“Kami memperluaskan lagi ekosistem semikonduktor tempatan dan mengukuhkan komitmen kami di Malaysia sempena sambutan 100 tahun kami. Kemudahan baharu kami di Pulau Pinang mendekatkan rangkaian pembuatan global Bosch kepada vendor penyumberan luar pemasangan dan pengujian semikonduktor (OSAT) di rantau ini serta kepada pelanggan automotif kami di pasaran Asia,”jelasnya.

Kon Yeow ketika ditemui pemberita pula berkata, Kawasan Perindustrian Batu Kawan menjadi kemudahan keempat Bosch di negeri itu, selepas kilang pembuatan elektronik automotif, alat kuasa dan stereng automotif.

Hubungan rapat Bosch dengan Pulau Pinang dan saling bekerjasama untuk mempercepatkan pembangunan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) Pulau Pinang yang rancak, mengukuhkan statusnya sebagai Lembah Silikon Timur dan dapat memastikan limpahan ekonomi yang bermanfaat untuk Malaysia.

Related Articles

Back to top button