PM Anwar hoskan Majlis Makan Malam raikan Sultan Hassanal Bolkiah
Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah malam tadi berkenan menghadiri Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada kira-kira jam 8 malam disambut oleh Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar dan Dr Wan Azizah kemudiannya mengiringi pasangan Diraja itu ke tingkat 42 menara untuk majlis berkenaan, yang turut
Sultan Brunei dan Anwar kemudiannya meluangkan masa untuk meninjau pemandangan dari KLCC Skybridge di tingkat 42 yang menghubungkan menara berkembar itu, sebelum meninggalkan majlis.
Terdahulu Sultan Brunei yang tiba untuk lawatan negara tiga hari di Malaysia mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya petang Khamis.
Kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.
Sebelum ini Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha diberi sambutan negara di Istana Negara di sini oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.