ekonomiGlobal

EUROCHAM harap Ekonomi Madani kukuh hubungan ekonomi EU-Malaysia

EUROCHAM Malaysia berharap Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meningkatkan lagi pelaburan dan mengukuhkan hubungan ekonomi antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia.

Secara keseluruhannya, EUROCHAM Malaysia menyifatkan Ekonomi MADANI adalah komitmen kerajaan Malaysia untuk menyampaikan visi, dengan kerangka ekonomi itu membentangkan pelan hala tuju yang komprehensif dan bercita-cita tinggi untuk membina Malaysia yang lebih baik, memupuk perpaduan, kemakmuran, serta kemajuan untuk generasi semasa dan akan datang.

“EUROCHAM Malaysia berharap rancangan ekonomi ini akan meningkatkan lebih banyak pelaburan dan mengukuhkan hubungan ekonomi antara EU dan Malaysia,” kata dewan perniagaan itu.

Tambah mereka, pelan ekonomi itu juga mencerminkan perjalanan ekonomi Malaysia yang luar biasa, yang mana pertumbuhan masa lalu telah memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat Malaysia, menghasilkan peningkatan kesihatan, pendidikan dan transformasi ekonomi daripada pertanian kepada pembuatan dan perkhidmatan.

Rancangan itu juga dilihat mengiktiraf kemunculan cabaran baharu dan kritikal, termasuk kemerosotan tadbir urus, ekonomi yang dipacu domestik, bahagian pendapatan pekerja yang rendah, gaji median dan purata, kadar penyertaan tenaga kerja wanita, pengumpulan hutang negara, penurunan pelaburan dan daya saing global.

“Ia memperkenalkan dua komponen penting: ‘Menaikkan Siling’ dan ‘Menaikkan Lantai’, dengan yang pertama bertujuan menyusun semula dan meningkatkan ekonomi Malaysia dengan menggalakkan serantau, daya saing, pendigitalan dan pertumbuhan hijau.

“Ini termasuk mengukuhkan firma dalam semua saiz, menyokong perniagaan mikro dan tempatan, memastikan keselamatan makanan dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global,” tambah mereka.

EUROCHAM Malaysia berkata, komponen ‘Menaikkan Lantai’ pula memperjuangkan keadilan sosial, kesaksamaan dan perlindungan sosial untuk semua rakyat Malaysia.

Ia membabitkan usaha menggalakkan peningkatan mobiliti sosial, memantapkan liputan perlindungan sosial, memastikan peluang yang saksama, menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan sejagat dari kelahiran hingga dewasa, memperbaharui sistem pendidikan, menambah baik infrastruktur dan menjadikan rumah mampu milik boleh diakses oleh semua rakyat bagi mengemudi transformasi ekonomi, rancangan itu memerlukan pendekatan kolektif yang membabitkan rakyat, kerajaan dan industri.

“Pembaharuan sektor awam adalah penting untuk kepantasan, kecekapan dan pelaksanaan program pemantauan, berteraskan penanda aras global untuk pertumbuhan ekonomi dan daya saing, keterangkuman tenaga kerja, memerangi rasuah dan memastikan kemampanan fiskal,” tambah EUROCHAM Malaysia.

Related Articles

Back to top button