Mahkamah

Berjaya Land mahu heret Sanusi ke mahkamah kerana buat kenyataan fitnah

Kumpulan Berjaya Land menyelar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kerana membuat kenyataan yang berniat mengelirukan mengenai projek Gerbang Maritim Selangor yang merosakkan reputasi syarikat itu.

Ketua pegawai eksekutifnya Syed Ali Shahul Hameed menerusi satu kenyataan berkata tuduhan Muhammad Sanusi kononnya Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan terlibat dalam ‘skandal’ projek pembersihan Sungai Klang adalah keterlaluan.

Tambahnya, kenyataan Muhammad Sanusi itu dibuat secara melulu dan tanpa sebarang pengesahan mengenai kebenarannya.

“Ia jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi Berjaya Land dan merosakkan komitmen kami serta kerajaan negeri terhadap peningkatan negeri Selangor dan rakyatnya.

“Saya juga ingin menambah bahawa kami sedang mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan mengambil langkah undang-undang untuk melindungi hak kami dalam hal ini,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dalam ucapan dihadapan penyokong menuduh Vincent Tan mahu mengadakan projek sungai bernilai RM10 bilion dengan mendapatkan tanah seluas 600 ekar di negeri itu.

Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) juga dakwanya menjual 55 peratus saham dalam anak syarikat miliknya kepada Berjaya Land selain Berjaya Land diberikan 600 ekar tanah negeri Selangor bernilai RM10 bilion secara percuma.

“Sebenarnya, hanya beberapa bidang tanah yang berjumlah seluas 103.6 ekar telah diluluskan pemilikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada sebuah syarikat tujuan khas melalui usahasama setelah tanah-tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan,” kata Syed Ali.

Sementara itu tambahnya, sebanyak 45 peratus saham di dalam syarikat usahsama adalah dipegang dan dimiliki oleh anak syarikat MBI.

“Berjaya Land (juga) adalah pihak yang dikehendaki untuk mengumpulkan dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar pasaran.

“Berjaya akan mengumpulkan dana bagi JVCo untuk membayar premium RM113.1 juta tersebut,” katanya.

Related Articles

Back to top button