Negeri

Kerajaan Perpaduan ada wawasan dan agenda jelas – Kon Yeow

Ketua Menteri sementara Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berharap agar rakyat di negeri itu memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri ini bagi penggal keempat.

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan dilihat mempunyai wawasan dan agenda pembangunan yang jelas serta mampu membawa pembangunan Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita tidak nafikan mengenai sentimen pengundi Cina dan kita ambil maklum dengan meneliti dapatan kajian dengan meningkatkan gerak kerja pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini termasuk di kawasan-kawasan yang dianggap selesa.

“Namun, saya berharap agar dengan prestasi kita mentadbir selama tiga penggal, rakyat akan memilih Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir sekali lagi bagi membolehkan kita menyambung semula projek-projek yang tidak sempat disiapkan pada penggal lalu.

“Malah, kita juga ada pelan dan wawasan amat jelas dan akan membawa Pulau Pinang ke peringkat pembangunan yang lebih tinggi,” katanya.

Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa terdapat sebilangan besar pengundi Cina mungkin mengundi pihak pembangkang, tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) mengambil maklum setiap suara rakyat dan menganggap PRN kali ini bukan sesuatu yang mudah.

“Oleh itu, kita akan meneruskan kempen ini supaya rakyat tahu mesej penting yang ingin disampaikan iaitu memilih Kerajaan Perpaduan untuk memerintah negeri ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button