Tampung keperluan makanan, PM seru syarikat besar usahakan tanaman sayur dan buah-buahan
Syarikat perladangan tempatan yang memiliki rizab tanah besar disaran supaya menanam sayur-sayuran dan buah-buahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat besar memiliki kepakaran dan sumber untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan dan melalui langkah itu, ia akan dapat menampung keperluan makanan dalam negara yang semakin meningkat.
Tambahnya, bagi menjayakan usaha menampung keperluan makanan itu, beliau sudah memberi arahan kepada syarikat seperti Sime Darby Bhd, FGV Holdings Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd untuk melaksanakan penanaman tanaman makanan seperti itu.
“Ini adalah langkah jangka sederhana yang kita boleh buat untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Malaysia ni subur, mengapa sayur dan buah tidak cukup? Ini soal bekalan dan permintaan.
“Kerana itulah kita minta syarikat besar ini untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan. Harga cili dan bawang kini tinggi melangit kerana semuanya diimport,” katanya.
Perkara itu di nyatakan Anwar pada Sesi Dialog dan Minum Petang bersama warga Dell Technologies di sini Bukit Mertajam pada Sabtu.
Anwar juga berkata, bagi menangani isu kos sara hidup yang tinggi, kerajaan akan terus memberi subsidi bagi bahan makanan asas dan memperluas inisiatif Rahmah ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sebagai penyelesaian jangka pendek.