Negeri

Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang mula beroperasi hari ini

Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang beroperasi secara rasmi hari ini dengan perjalan pertamanya dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), di Georgetown bermula jam 6.30 pagi

Trip pertama itu dinaiki Ketua Menteri sementara, Chow Kon Yeow sekali gus merasmikan operasi pengangkutan awam itu.

Kon Yeow berkata terdapat empat feri baharu yang dinamakan Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar beroperasi melakukan 68 perjalanan dua hala sehari dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak manakala 30 minit pada waktu bukan puncak.

Kedua-dua terminal juga jelasnya sudah dinaik taraf untuk memberikan keselesaan kepada penumpang ketika menunggu ketibaan feri, dengan kelengkapan ruang menunggu berhawa dingin, kamera keselamatan serta kemudahan lif bagi Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Bercakap daripada pengalaman, saya percaya semua penumpang feri pada masa dahulu, satu isu adalah masa untuk menunggu dalam keadaan yang kurang selesa, tetapi mulai hari ini kita menyaksikan satu perubahan yang ketara,” katanya kepada media selepas pelancaran feri baru di PRTU.

Sementara itu pengguna feri dapat menikmati perkhidmatan feri secara percuma mulai hari ini sehingga 7 Sept dengan membawa seramai 150 penumpang serta 50 motosikal dalam satu masa.

Selain itu, Chow berkata pihaknya akan meneliti penggunaan teksi air untuk menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Prai dengan lebih pantas kerana mempunyai persisiran pantai yang panjang.

“Jadi pihak kerajaan negeri akan beri kerjasama dan mahu menjadi satu pemegang taruh yang penting bersama menteri pengangkutan dalam meneroka pengangkutan awam atas laut dengan lebih luas dan efisien,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk V Sasedharan berkata, pihaknya sedang mengkaji kadar tambang feri baharu itu dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Menerusi 68 trip yang disediakan, kita mensasarkan 100,000 pengunjung untuk satu hala dalam sebulan, menjadikan 1.2 juta penumpang untuk setahun.

“Jumlah itu merangkumi 95 peratus penumpang yang menaiki untuk ke tempat kerja,” katanya.

Related Articles

Back to top button