Semasa

PM Anwar santuni warga Madrasah Ribat Al-Musthofa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin meluangkan masa hampir satu jam menyantuni warga Madrasah Ribat Al-Musthofa di Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong, di Machang.

Anwar yang tiba jam 6.47 petang, disambut pendakwa Ustaz Muhaizad atau Muhaizad Muhammad yang juga penasihat madrasah serta warga pusat itu sebelum diberi taklimat ringkas.

Anwar bersama rombongan kemudian menikmati makan malam dan kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Melalui satu hantaran di Facebooknya malam tadi, Anwar menjelaskan bahawa kehadiran ke madrasah berkenaan untuk menziarah sahabat-sahabat tok-tok guru.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat bertemu dan bertanya khabar dengan para pimpinan pondok-madrasah Kelantan di Madrasah Ribat Al Musthofa, Pulai Chondong.

“Platform majlis ilmu itu saya gunakan sebaiknya dalam merapatkan ukhwah selain meningkatkan hubungan antara ulama dan umara’.

“Sayugia, doa dan nasihat para tuan guru mengenai hal ehwal agama dan negara sebentar tadi amat saya hargai.
Dititipkan doa institusi pondok-madrasah akan terus dibangunkan dan turut sama menyumbang ke arah pembinaan Malaysia MADANI,” katanya.

Dalam pada itu, Muhaizad secara ucapan alu-aluan menyifatkan kehadiran Perdana Menteri sebagai salah satu nikmat persaudaraan agama dan bangsa.

Seluruh warga pondok jelasnya mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri.

“Terima kasih kerana sudi melawat kami dan ia sesuatu yang menggembirakan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button