Semasa

Menantu Muhyiddin tak perlu larikan diri jika yakin tak bersalah – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebab untuk seseorang melarikan diri dari siasatan, jika yakin dia tidak bersalah.

Merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa dua individu yang dicari bagi membantu siasatan termasuk menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar berkata, tindakan melarikan diri akan melahirkan persepsi negatif di kalangan masyarakat.

Tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, ekoran terlampau banyak kes rasuah yang terpalit dengan Perikatan Nasional, maka Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak seharusnya menggunakan slogan ‘pentadbiran bersih’ lagi.

“(Slogan pentadbiran) bersih itu dah tak ada, sebab hari ni kenyataan SPRM bahawa menantu calon PM (Muhyiddin) dah lari … mana boleh.

“Kalau ada bukti, siasat, dia (SPRM) dakwa, kalau rasa tak salah pertahanlah (diri). Lari bukan contoh yang baik.

“Jadi kamu (PN) kena jaga hal ini. Kerana jumlah (wang) yang dikaitkan dengan rasuah itu banyak.

“Jadi soal (guna slogan pentadbiran) bersih itu, PAS, Bersatu dan PN tak boleh guna kerana terlalu terpalit dengan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk di Perda, Nibong Tebal pada Selasa.

Terdahulu SPRM pada Isnin mengeluarkan kenyataan sedang mengesan Muhammad Adlan Berhan dan seorang lagi individu yang dinamakan sebagai Mansoor Saat.

Difahamkan ia membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil sebelum ini mendesak Muhyiddin memberi penjelasan kepada rakyat berhubung siasatan yang didakwa melibatkan menantunya.

Malah perlu membantu SPRM untuk mengesan dimana keberadaan menantunya itu.

Related Articles

Back to top button