Parlimen

Fatihah sebak cabut plat nama Salahuddin Ayub di Parlimen

Anak kepada mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Fatihah Salahuddin hadir ke Dewan Rakyat untuk mencabut plat nama ayahnya pada Selasa.

Fatihah melalui perkongsian di laman Facebooknya meluahkan rasa sayu dan sebak kerana terkenangkan arwah ayahnya.

“Saya memakai baju kemeja putih ayah hari ini ke Parlimen untuk mencabut plat nama ayah di Dewan Rakyat.

“Rasa sayu dan sebak sebaik saja saya masuk ke dalam dewan, jatuh juga air mata tadi mengenangkan ayah.

“Rasanya baru seperti semalam kami bekerja keras untuk memenangkan ayah di Parlimen Pulai,” luah Fatihah.

Sementara itu Fatihah turut berkongsikan pengalamannya yang bukan asing di Parlimen.

“Secara peribadi, Parlimen adalah keluarga besar buat saya. Saya berpeluang bekerja dengan warga Parlimen sebagai Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof 2018-2020.

“Kemudian, berkhidmat dengan ayahanda tercinta sebagai pegawai khasnya daripada 2020 sehingga Parlimen dibubarkan pada 2022,” katanya sambil menjelaskan sepanjang tempoh tersebut, beliau diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk menguruskan segala hal ehwal Parlimen daripada menyediakan soalan-soalan bagi pertanyaan jawab lisan sehinggalah membuat usul.

“Bagi pihak ayah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Parlimen Malaysia dan sudah dua minggu ayah tinggalkan kita semua, kerusi ini adalah milik rakyat.

“Datangnya daripada mandat rakyat, pulangnya kepada rakyat yang bakal memilih dan memberi mandat,” kata Fatihah.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam 23 Julai lalu selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.

Timbalan Presiden AMANAH itu sebelumnya dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah. Doktor pakar mengesahkan terdapat pendarahan di bahagian otaknya.

Allahyarham dikenali dengan jolokan ‘Bapa Rahman’ susulan kesungguhannya meringankan beban rakyat melalui beberapa inisiatif payung rahmah dengan yang paling terkenal adalah menu rahmah dan bakul rahmah bagi golongan B40.

Related Articles

Back to top button