Semasa

Kerajaan akan cari dana untuk pelarasan gaji sektor swasta – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha mencari dana untuk menampung sedikit bayaran bagi penyelarasan gaji pekerja sektor swasta.

Dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Bersama Usahawan Tekun di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu pada Rabu, Anwar berkata tidak banyak negara yang melakukan perkara itu tetapi Kerajaan Perpaduan tetap akan memikirkan tentang bagaimana kaedah dan pelaksanaannya.

“Pimpinan mesti peka dan prihatin tentang masalah rakyat dan isu penyelarasan gaji untuk perkhidmatan awam yang sedang diusahakan belum dibuat di dalam sektor swasta.

“Pekerja kilang, apa nasib mereka. Sebagai contoh, kilang itu untungnya berbilion ringgit tetapi gaji masih belum mencapai gaji minimum. Jadi, keputusan kita ialah mencari kaedah dan mekanisme baru untuk memastikan gaji pekerja itu ditingkatkan,” katanya.

Bagi penyelarasan gaji sektor awam, Anwar berkata keputusan bagi kadar gaji dan upah baharu akan diumumkan sama ada dalam Belanjawan Madani 2024 atau pada awal tahun hadapan selain peruntukan lebih khusus untuk usahawan juga akan diumumkan di dalam belanjawan itu.

Sementara itu, Anwar berkata, negara ini juga bergantung kepada usahawan kecil dan sederhana dalam usaha untuk mengembangkan ekonomi Madani.

“Ia berkait dengan (isu) menokhtahkan kemiskinan. Program perlu dibuat supaya kelompok ini tidak dipinggirkan… dan ia memerlukan komitmen politik yang jelas,” katanya sambil menegaskan pembangkang bersuara pelbagai isu tetapi sewaktu berkuasa tidak banyak yang mereka lakukan.

Related Articles

Back to top button