Apabila dalam debat Syahir kata baik awak diam…
ULASAN | Buat pertama kali dalam sejarah perdebatan politik negara kita dapat mendengar pendebatnya menyebut “tu sebab baik awak diam, baik awak diam…” kepada hadirin dihadapannya.
Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman malam tadi membawa kepada satu pertanyaan utama.
Adakah parti politik yang telah lama berada dalam struktur siasah negara seperti PAS sudah tidak ada lagi pemimpin yang pintar berfikir, bijak bercakap dan ada wibawa?.
Soalan itu penting untuk ditanya kerana kualiti paling asas itulah yang akan membentuk suatu gagasan idea baru menjadi dasar dan polisi negara.
Semua tahu sebelum debat ini berlaku, Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi telah berkali-kali menjemput, mengajak dan mempelawa beberapa orang pimpinan PAS dan BERSATU yang lebih senior seperti Dato Seri Sanusi dan Dato Seri Mohamed Azmin Ali.
Malangnya panglima perang PAS dan jaguh langkah Sheraton itu tidak cukup berani untuk menyambut cabaran Menteri Ekonomi untuk berdiri dihadapat rakyat dan berdebat.
Keterujaan menonton debat ekonomi Syahir Sulaiman dengan Menteri Ekonomi yang pada sebelumnya dipercayai akan dimanafaatkan sebaiknya oleh Penolong Setiausaha Agung PAS itu ternyata meleset.
Malah apa yang dihujjahkan oleh Ahli Parlimen Bachok itu bukanlah suatu argumen tetapi hanyalah aksi membaca teks ucapan yang semedang asyik lari dari mewacanakan model ekonomi. Malah dia memang seakan-akan langsung tidak memerlukan apa-apa model ekonomi yang boleh dia tawarkan dalam debat ekonomi itu kepada rakyat dengan terus-menerus membaca teks yang dia bawa.
<>
Syahir bukan saja tidak menjawab soalan moderator dan mengelak dari menjawab pertanyaan pesaing debatnya. Malah dia sangat terdorong untuk menolak arah perdebatan ekonomi itu menjadi suatu ceramah politik depan markas PAS di Bachok yang banyak dengan sensasi tapi kosong dengan hujahan ekonomi.
Keseronokkan Syahir yang nampak berkali-kali mengungkapkan istilah “the founding fathers” di sana sini jelas hanya mahu menampakkan dirinya tahu banyak hal-hal politik.
Tidak mengejutkan kalau Syahir memetik nama Nik Abdul Aziz Nik Mat. Cubaan itu memang wajar dia lakukan bagi mengembalikan legasi untuk diambil keuntungan oleh pimpinan PAS sekarang yang jauh dari model kepimpinan almarhum bekas Menteri Besar Kelantan.
Selain terlalu gemar berdebat dengan gaya mencampur-adukkan bahasa Melayu dan bahasa inggeris secara rojak. Cara Syahir menyusun ayat di atas pentas perberdebatan juga tampak lintang-pukang, tonggang terbalik, tiada gaya dalam berbahasa dan terampil dengan gaya dan cara yang langsung tidak menarik.
Kalau berkali-kali Syahir menyuguhkan hadith dan surah dalam argumennya. Percayalah bahawa ia hanya cara dia untuk memperkukuhkan apa yang dia kemukakan dalam debatnya.
Tidak mungkin akan ada mana-mana Menteri Ekonomi dari negara kita yang mahu mempertikaikan ayat-ayat agama yang Syahir sandarkan ke dalam hujjahnya yang biasa-biasa saja. Menolak ‘keberkatan’ atau ‘rezeki tanpa riba’ yang diajarkan Islam tentu akan membawa natijah persepsi kerajaan madani tidak Islam misalnya.
Dengan beberapa kali mengulang-ulang istilah “the founding fathers” di sini sana sambil semberono memetik nama Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Mahathir tanpa dialas dengan hujah yang munasabah. Itu hanya membuat kita tertanya-tanya apa yang sedang dia cuba katakan sebenarnya?.
Entah mengapa Syahir terlalu gemar untuk membawa perdebatan ekonomi ini jauh kebelakang dengan mengimbau bermacam kenangan-kenangan lampau. Entah mengapa sebagai ahli Parlimen pembangkang yang kononnya ada masa depan yang cerah dalam politik Malaysia mensia-siakan peluang yang dia ada.
Debat Ekonomi yang sepatutnya pekat dengan idea dan tepu dengan gagasan dan wacana pengekonomian hanya jadi platform untuk mereka bercakap tentang hal yang tiada kaitan dengan model ekonomi tapi sebaliknya untuk jadi konten video-video pendek untuk ditebarkan di TikTok nanti.
Adakah parti politik yang telah lama berada dalam struktur siasah negara seperti PAS sudah tidak ada lagi pemimpin yang pintar berfikir, bijak bercakap dan ada wibawa?. Kerana dalam debat ekonomi yang penuh kesia-sian hujjah ekonomi beginilah kita mendengar Penolong Setiausaha Agung Pas Mohd Syahir Sulaiman berkata.
“Tu sebab baik awak diam, baik awak diam…